Kisah air kelapa gula

 

Sudah dua tiga kali aku melalui stall kecil menjual air kelapa di tepi jalan sebelum simpang menuju ke kawasan perumahanku, baru hari ini aku singgah. Longgokan buah kelapa di atas meja itu bagai memanggil-manggil untuk dibeli. Hajat di hati ingin membeli air kelapa asli, yang belum dicampur gula atau ais.

Tika aku sampai, ada seorang pemuda sedang tekun mengikat plastik air kelapa. Hairan juga aku kenapa si pembeli yang membungkus sendiri. Self-service? Atau dia membuat pembelian istimewa. Usai mengikat dan menggantungkan air kelapa ke motosikalnya, dia mensedekah sekuntum senyuman kepadaku.

Aku masih termanggu di hadapan kedai itu. Makcik tua si empunya perniagaan terkumat kamit menutur kata, namun tidak satupun dapat ku tangkap. Belum pun aku berkata apa, makcik tua itu sudah mencedok air kelapa dan mencampurkannya ke dalam plastik putih yang terdahulu diisi air gula.

Aku hanya melihat, masih belum berkata apa. Untuk akukah air itu? Mata sempat menangkap jari makcik tua itu yang sedikit kehitaman turut sama menyelam dalam air kelapa yang dicedok. Plastik air itu juga sudah ada kesan kehitaman, begitu juga tong air dan penutup tong.

‘Langsung tak hygiene’ getus hatiku.

Sekali lagi dia mencedok air gula dan kemudian digaul ke dalam bungkus air kelapa. Aduh, terlebih manis dah ni. Tahu la badanku besar anak gajah, tapi aku tak minum minuman manis terlebih gula. Kebiasaan minum milo pun tanpa gula mahupun susu.

Aku mahu air tanpa gula atau ais, tapi hanya ada setong air yang sudah bercampur ais. Tiada kelibat lain yang boleh aku minta membelah kelapa baru. Aku mahu air tanpa gula, tapi makcik tua itu sudah menghulur plastik air tadi yang tidak dapat diikat rapi kerana terlalu penuh.

Jika kebiasaan mungkin aku akan terus berlalu pergi. Tak hygiene, juga terlebih gula tidak seperti apa yang aku mahukan. Tapi mengenang mak cik tua yang bersungguh mencari rezeki walau mata dan telinga sudah kurang peka, aku terima saja air kelapa itu. Aku hulurkan duit sepuluh ringgit. Dia sempat bertanya duit sepuluh ringgit kan? Duit didekat ke mata untuk kepastian.

Sambil menunggu makcik tua mencari wang baki, aku secara spontan meniru aksi pembeli sebelum ini yang mengikat sendiri air yang dibelinya. Baru aku faham kenapa si pembeli itu mengikat sendiri.

Selepas membeli air kelapa, aku ke seberang jalan untuk membeli mertabak untuk berbuka. Ketika balik aku lihat si makcik tua itu gigih menghayun parang membelah kelapa.

Malam ini, sudah berapa kali aku campurkan air kosong ke dalam air kelapa tadi. Masih kuat terasa manis dua cedok air gula.

Walau asalnya kurang bersih, aku minum juga air ini. Seperti sabda Nabi, kita tidak tahu di mana barakahnya rezeki. Tambahan lagi di bulan Ramadan ini, bukankah untuk mendidik hati mensyukuri nikmat Ilahi?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *