Tips mengira budget travel & membuat itinerary

Salam semua.
Ni sample itinerary yang saya buat untuk my second Korea trip (click to enlarge). Saya mmg meticulous macam ni. Orang kata backpacker buat site visit…lantak la orang nak cakap apa..haha. Sebab biarpun buat detail macam ni pun, x tentu menjadi. My first day hujan lebat. Lambat jumpa kawan. Penat. Itinerary memang rombak habis on spot, tapi sekurang-kurangnya save masa nak ke destinasi dituju, x pening macam mana nak pergi etc. Mana priority pergi dulu. Mana x sempat, skip. Alhamdulillah still on budget sebelum sampai Myeongdong…hahaha.
Sejak berkecimpung dalam group FB Backpackers Buddies Malaysia, dan mengikut beberapa laman travel yang lain, soalan yang selalu ditanya ialah berapa budget untuk ke sesuatu tempat.
Sebenarnya perkara ini subjektif mengikut apa yang kita ingin lakukan di destinasi yang dituju. Adakah kita hanya sekadar menjelajah tempat baru? Adakah kita ingin merasa percutian mewah (cruise atau Disneyland contohnya)? Adakah kita ingin merasa makanan tempatan yang mungkin mahal? Adakah kita ingin shopping & beli souvenir untuk seluruh kaum kerabat & orang kampung?
Panduan ni secara asas adalah untuk yang hendak pergi sendiri tanpa mengikut tour guide atau hanya mengambil ground tour untuk sebahagian aktiviti sahaja. Ini sudah pastinya bukan panduan percutian VIP karpet merah. Panduan ini secara tidak lansung membantu anda membuat itinerary (iti).
Basic rules:
1) Keperluan:
  • Kos pengangkutan (flight, train, bas, tuk-tuk)
  • Kos penginapan (hotel, guesthouse, hostel, coachsurfing)
  • Belanja makan
  • Entry fee
2) Kehendak:
  • Shopping
  • Souvenir
  • Beli bagasi, kamera & SD card baru
  • Wifi / simkad
Langkah 1: Tentukan destinasi
Lepas kita decide nak ke sesuatu tempat, atau lepas dah beli tiket free seat air asia, cari info berkaitan desinasi yang hendak dituju. Nak main aci redah pun, sekurang-kurangnya perlu ada matlamat. Contoh kalau kita beli tiket ke Busan, dalam Busan tu nanti nak pergi mana? Senaraikan semua tempat yang anda nak pergi, contohnya: Taejongdae, Haeundae, Busan Mosque, Beomeosa Tample. Atau adakah kita nak juga ke bandar lain yang berdekatan? Contohnya dari Busan ke Gyeongju, atau dari Busan ke Goeje-do?
Destinasi ini penting untuk kita cari budget pengangkutan dan budget penginapan. Mula cari peta kawasan yang anda ingin pergi. Study!!

Susun destinasi yang hendak kita pergi mengikut lokasi. Contoh jika anda ke Seoul:

  • satu hari boleh pergi kawasan istana atau gwanghamun, terus berjalan ke City Hall atau Namsan Tower dan malamnya boleh window shopping di Myeongdong atau Namdeamun. 
  • Hari kedua boleh pergi Nami Island, Petite France & Garden of Morning Calm…semua ni dekat-dekat je. Malam boleh singgah Iteawon untuk makan malam & tapau breakfast.
  • Hari ketiga pergi kawasan Gangnam (saya panggil kawasan seberang sungai Han): Apgujeong, Cheongdamdong, Sinsa-Gurosugil…dan malam boleh pergi melihat Banpo Rainbow Fountain.
  • Hari keempat boleh pergi kawasan Dongdaemun, Anguk & Insadong. Kalau saya boleh je jalan kaki dari Anguk ke Insadong ke Myeongdong balik…haha.
Beri kelonggaran pada diri. Itinerary jangan terlalu padat. Ambi kira masa perjalanan, masa anda nak rehat makan atau solat. Hari pertama sampai jangan terlalu excited nak isi dengan semua tempat. Kebiasaanya nak cari hotel pun dah sekian. Biasanya sangat penat. Bagi masa rehat sekejap. Begitu juga hari terakhir, kebiasaannya itu hanya hari menuju airport je bagi saya. Atau jika anda ada aktiviti hiking (mendaki Soraksan contohnya), hari seterusnya buat aktiviti lite-lite je sebab kaki masih penat mendaki gunung.

Tips untuk newbie: 
  • Macam mana nak tau tempat nak pergi? Buka google, taip ‘(nama destinasi contoh: Busan) tourism’ atau ‘place to visit in (your destination)’
  • Macam mana nak tau jenis pengangkutan yang ada? Buka google, taip “how to get from ~~ to ~~” atau “transportation in ~~”
  • Selebihnya, boleh cari review pengalaman traveler lain untuk destinasi & pengangkutan yang ada untuk kita tentukan final iti. Lepas study review pengalaman orang lain, boleh decide mana satu priority destination dan yang mana satu boleh skip jika perlu.
Langkah 1.5: Cari rakan travel jika perlu
Ni optional. Saya lebih suka travel sorang. Bebas, ikut suka nak makan roti je ke tak perlu cari nasi; atau bebas mana nak pergi, mana nak skip, pukul berapa keluar, nak jalan kaki panjat bukit pun xde yang nak complain…hehe.

Tapi ada masa perlu travel partner. Contoh kes parent x bagi travel sorang, atau nak jimat kos penginapan, pengangkutan & monopod (ada kawan, ada juga tukang ambil gambar kan..haha). Atau ke tempat yang bahaya seperti India atau mendaki Everest contohnya.

Langkah 2: Cari accomodation
Bila dah tahu bandar mana nak pergi, dah boleh mula dah survey harga penginapan. Boleh guna AirBnB, Agoda, Kaligo…ada banyak lagi sebenarnya. Kat sini kita dah kena tentukan berapa malam kat suatu tempat. Buat anggaran je, dan ambil kos sewa untuk semalam.
Tips memilih penginapan:
  • Golden rules: Cari penginapan yang dekat dengan banyak attraction atau dekat dengan public transportation. Yang senang nak cari waktu pertama kali sampai. Baca review previous customer, susah tak diorang nak cari?
  • Contoh, kalau di Seoul anda nak melawat istana2 dan shopping di Myeongdong; cari guesthouse yang terletak antara Myeongdong – Namdeamun – City Hall. Guna fungsi ‘MAP’ untuk lihat mana guesthouse bajet yang berdekatan. Sewaktu pertama kali ke Seoul pada tahun 2012, saya menginap berhampiran Namdeamun, boleh jalan kaki ke Myeongdong, Namsan Tower, City Hall, dan kawasan istana-istana hingga ke Gwanghamun. Jimat kos subway. Secara tak lansung jumpa kawasan cantik yang xde pun dalam iti. Tapi kaki kena tahan la berjalan..hehe.
  • Sama juga sewaktu trip Korea 2014, saya ambil guesthouse yang dekat dengan Sasang Bus Station sebab saya akan keluar dari Busan ke bandar lain melalui bas antara-bandar.
  • Tempah guesthouse awal untuk harga early bird. Kalau kat Agoda siap ada option ‘Book First, Pay Later’ & ‘Free Cancellation’..manfaatkan. Nota: baca betul-betul terma & syarat terutama berkaitan pembayaran dan caj/fee cancellation dan apa2 fee berkaitan.
  • Baca review untuk tahu apa yang boleh kita expect dari sesebuah guesthouse. Wifi selalu rosak ke. Tune Hotel kena bayar extra untuk air-con & toiletries contohnya. Laundry berbayar. Kes bilik diselongkar atau locker dipecahkan dan yang sewaktu dengannya.
  • Di sesetangah negara yang banyak pelancong, kebanyakan hostel atau guesthouse ada menyediakan wifi percuma, pantry lengkap dengan dapur, microwave, roti, telur & kopi untuk sarapan, dan juga washing machine. Ini adalah manfaat yang boleh anda pilih jika melakukan tempahan awal.
Hari hujan. Travel seorang diri boleh buat kita hilang matlamat & malas. Petang tu saya randomly je jalan-jalan dari guesthouse, target nak ke Gwanghamun je. Tapi terjumpa pulak Gyeonghuihung (palace), Seoul Museum of History,  rumah Pak Ha dalam Rooftop Prince & view yang cantik dalam gambar ni…memang best la jalan-jalan sini.

Coach surfing:

  • Coachsurfing ialah laman komuniti di mana ahlinya boleh menawarkan tempat tinggal secara percuma kepada ‘surfer’. Ada juga ahli yang hanya ingin berjumpa minum kopi & memperkenalkan bandar mereka.
  • Saya belum pernah menggunakan coachsurfing, jadi saya kongsikan saja hasil pembacaan pengalaman orang lain ya.
  • Pertamanya bina profil anda. Ini adalah untuk membina kredibiliti & memudahkan host untuk membuat background search. Jika ada blog, letak pautan blog anda. Lagi banyak info berkaitan anda, lagi mudah host nak beri kepercayaan pada kita kan?
  • Baca dulu review berkaitan host sebelum ada hantar request.
  • Host boleh tolak permohonan anda. Anda boleh cuba request 2-3 host yang berbeza. Jangan request last minute, buat persediaan awal. Dan sedia budget in case x dapat host di sesuatu tempat.
Langkah 3: Cari pengangkutan
  • Macam mana nak pergi dari lapangan terbang ke hotel/guesthouse/host? Adakah kita nak pergi ke luar bandar? Macam mana nak pergi ke tempat2 perlancongan? Apa method pengangkutan yang ada?
  • Senaraikan semua destinasi yang dituju, kemudian cari apa method pengangkutan & kos yang terlibat. Sejujurnya, semua info ini ada terdapat di internet…kecuali mungkin jika anda ingin ke tempat yang jarang pelancong pergi seperti Somalia ataupun Papua New Guinea.
  • Salah satu laman yang sangat berguna untuk menentukan kos & method perjalanan ialah laman rome2rio.com
  • Di sesetengah tempat, terdapat beberapa option yang berbeza: subway, bas, train, jalan kaki. Pilih mana yang mudah bagi anda. Subway biasanya paling mudah jika anda faham peta subway. Bus boleh jadi tricky jika anda tidak faham bahasa negara yang anda lawati, tapi pemandangan sepanjang jalan boleh jadi sangat menarik berbanding mengguna subway bawah tanah. Begitu juga keretaapi laju antara bandar mungkin lebih cepat, tetapi agak mahal berbanding bas.

Langkah 4: Budget Makan
  • Yang ini anda perlu baca review dari orang-orang yang pernah melawat negara yang ingin anda pergi untuk menganggar kos makanan tempatan.
  • Saya guna formula mudah ‘budget makan sehari X jumlah hari’
  • Untuk tentukan budget sehari, kita kena tahu berapa harga standard meal di negara yang kita ingin pergi. Contoh di dalam Malaysia, kita boleh cari makanan sekitar RM5 – RM15 sekali makan. Jika makan 2 kali sehari, ertinya budget RM10 – RM30. Tambah kos minuman & snack, mungkin sekitar RM30 – RM50 sehari. Ertinya untuk 4 hari contohnya, kita perlu budget sekitar RM120 – RM200.
  • Contoh lain: jika anda ke Korea, meal kebiasaannya berharga sekitar 15,000won (RM45). Nak jimat pergi makan odeng & ttebuki tepi jalan dalam 5000won (RM15) atau set burget di restauran halal sekitar 5000won juga. Kalau nak cafe-hopping, minuman sekitar 5000won + waffle 12,000won (total rm50 macam tu juga). Itu untuk sekali makan, jadi rancanglah untuk setiap hari anda nak makan macam mana. 
  • Bawa la extra sikit, ye la sekali sekala kat tempat orang boleh la satu dua meal cari yang best sikit…hihi.
  • Kalau perut tahan tak makan nasi, sesi cafe-hoping boleh cover sekali dinner atau lunch. Atau beli roti & pastry di bakery. Ni biasanya lebih jimat.
  • Jangan lansung tak sedia budget untuk makan di luar. Sungguhpun azam berjimat cermat nak makan roti & maggi je…maybe perut kita takkan tahan. Makan la secukupnya sekurang-kurang sekali sehari. Kita nak jalan-jalan pun perlu tenaga juga.
  • Kalau guesthouse anda ada sediakan microwave atau dapur, anda boleh masak sendiri nasi atau telur goreng. Beli buah untuk serat. Siap-siap bawak sambal ke, maggi ke, kari ayam atau sardin dalam tin ke sebagai lauk. Boleh la  juga buat sandwich tuna atau telur untuk bekal makan tengah hari di luar…jimat.
  • Consider bawa energy bar, boleh isi perut jika lapar & masih jauh dari tempat makan yang murah.
  • Di tempat yang susah nak dapatkan makanan halal, bila anda singgah di sebuah kedai, tapau sekali untuk dinner atau breakfast next day.
  • Tips tapau makanan dari Malaysia: contohnya jika anda guna AirAsia X dari Kuala Lumpur, tempah awal meal Air Asia. Kebiasaannya boleh tempah 2 meal untuk perjalanan jauh. Anda boleh makan salah satu meal sebelum kapal terbang mendarat (contoh flight 8 jam ke Korea, anda boleh skip first round of meal..so sebelum mendarat diorang hidang meal panas2 untuk kita). Satu lagi meal kita minta diorang bungkus…jimat masa nak cari makanan kat tempat baru sampai.
  • Kebiasaan saya juga akan tapau satu burger dari KLIA/LCCT…boleh cover another meal kat negara yang susah nak cari makanan halal. Dengan 2 tips ni, anda tak perlu risau makanan halal untuk hari pertama.
  • Saya juga akan tempah makanan balik jika dari negara yang susah nak dapat makanan halal. 

Langkah 5: Entry Fee
  • Semak jika sesuatu tempat yang anda ingin lawati memerlukan tiket masuk. Masukan harga-harga tiket ini ke dalam senarai budget anda.
  • Alternatifnya, anda boleh semak jika terdapat attraction percuma atau lebih murah untuk berjimat. Tetapi adakalanya sesuatu bayaran itu mungkin berbaloi dengan pengalaman yang disediakan, baca review terlebih dahulu sebelum anda membuat keputusan. 

Langkah 6: Duit belanja, Emergency Fund & Travel Insurance
  • Sediakan budget untuk anda shopping atau membeli souvenir. Baca review pengalaman orang untuk tahu budget shopping di sesebuah negara. Harga souvenir berbeza mengikut negara. Begitu juga kos shopping. Cari anggaran harga. Lepas tu tanya nafsu & dompet nak belanja banyak mana.
  • Asingkan Emergency Fund untuk kos yang tak dijangka. Pastikan ianya hanya diguna/disimpan untuk emergency sahaja. Fikir worst case scenario: tertinggal flight balik & perlu tiket baru & seumpamanya.
  • Anda mungkin tidak perlu membeli souvenir untuk semua kaum kerabat & kenalan anda. Terutama jika anda sudah melangkau usia 30-an…rakan-rakan anda mungkin tidak hairan dah dengan key chain & fridge magnet. Cukup beli sekotak dua gula-gula, coklat atau makanan tempatan yang tahan lama untuk diberi rakan-rakan sekerja & keluarga contohnya, melainkan anda memang ada budget extra. Boss saya yang kaya raya pun kebiasaanya hanya membeli sekotak dua gula-gula atau coklat jika kembali bercuti dari luar negara untuk seluruh pejabat. Tak perlu la kita nak beli T-shirt atau fridge magnet untuk setiap rakan sekerja atau ahli keluarga….bukannya pakai pun!!
  • Insuran atau takaful perjalanan penting untuk cover jika berlaku kehilangan/kerosakan bagasi; atau berlaku kemalangan kecil yang memerlukan rawatan hospital. Belanja hospital di negara luar boleh jadi sangat tinggi. Anda boleh rujuk laman web RinggitPlus untuk membandingkan pakej Insuran Perjalanan. Jika anda kerap travel, mungkin boleh ambil pakej tahunan. Ada juga pakej per trip, pakej untuk pasangan atau keluarga untuk harga yang lebih murah.

Langkah 7: Summarize
  • Bila dah dapat anggaran kesemua kos, campurkan kesemuanya. Adakah ianya melebihi budget atau kemampuan anda?
  • Jika kos anda terlalu tinggi, telitikan semula itinerary anda. Ada tak tempat yang anda boleh skip? Ada tak bandar yang terlalu jauh & boleh anda skip? Ada tak cara yang lebih murah untuk sampai ke sesuatu tempat atau bandar yang jauh itu?
  • Takpe skip je….nanti tanam azam 4-5 tahun datang lagi….hahaha.

Tips tambahan:
  • Buat tempahan & bayaran awal untuk hotel dan pengangkutan awal (train pass contohnya) sebelum berlepas ke luar negara. Dengan ini, anda tidak perlu menukar matawang asing dan membawa cash yang banyak.
  • Tahukah anda, pembayaran secara online atau kad kredit kadang-kadang memberi kadar pertukaran yang lebih jimat berbanding jika menukar matawang di pengurup matawang.
  • Jangan lupa aktifkan penggunakan kad debit dan/atau kad kredit untuk penggunaan luar negara. Telefon customer service untuk memaklumkan negara & tempoh anda berada di sana. Pastikan mereka mengaktifkan penggunaan di luar negara, dan bukan sekadar ‘take note’. Pernah berlaku pada saya bila kad saya hanya di-notakan sebagai berada di luar negara tanpa pengaktifan penggunaan di negara tersebut. Nasib baik saya menalefon & menyemak semula sebelum berlepas ke luar negara.
  • Jika anda ada kad kredit, gunakan di tempat-tempat yang menerima kad kredit. Dengan ini anda menjimatkan wang tunai anda. Pastikan anda mempunyai dana untuk membayar balik belanja kad kredit tersebut.
  • Packing: sediakan satu set baju/persalinan untuk semalam (hand laugage) in case anda kehilangan bagasi sesampai anda di negara yang anda tuju.
  • Internet? Wifi? Mana la gempak travel kalau tak dapat live-update dari oversea kan? Nawaitu nak travel kan nak show-off…haha…gurau je. Jangan lupa semak penyedia perkhidmatan internet negara yang anda ingin pergi. Boleh ke beli simkad, atau ada tak perkhidmatan public wifi? Semak juga kos roaming telco anda.
  • Jangan lupa semak keperluan visa untuk memasuki sesebuah negara. Contohnya kita perlu memohon lebih awal visa untuk masuk ke China atau Russia. Visa Parkistan untuk rakyat Malaysia hanya dikeluarkan di Malaysia sahaja. Tetapi ada juga visa yang dikeluarkan di sempadan, contohnya jika memasuki Laos atau India.
  • Jika anda ingin menyewa kereta di negara luar, semak keperluan lesen. Kebanyakan negara menerima lesen Malaysia. Di Korea, kita hanya perlu menyerahkan lesen memandu Malaysia untuk mereka simpan & kita akan diberi ‘lesen’ memandu korea.
  • Jika anda pergi ke negara yang menggunakan bahasa atau tulisan yang berbeza (contoh Korea, Japan & Russia), mungkin lebih baik anda buat nota atau senarai tempat-tempat yang ingin dilawati serta soalan lazim di dalam bahasa negara tersebut, untuk memudahkan bertanya jika sesat.
Check list sebelum bertolak:
  • Pasport dan Visa (jika perlu)
  • Ubat-ubatan asas: panadol, handyplast, minyak angin, minyak panas, cooler, ubat selsema, ubat batuk, garam (untu dehydrasi), ubat arang (food poisoning). Bawa sikit2 je just in case.
  • Toiletries dalam travel size. Tak boleh bawak cecair lebih 100ml ke dalam cabin pesawat, jadi sila pindahkan semua pencuci muka, toner, moisturizer, serum, night ampoule anda ke botol travel size.
  • Scan & simpan dokumen penting anda seperti passport, flight booking, hotel booking di dalam telefon pintar anda. Sebaiknya simpan satu backup di USB atau secara online (dropbox atau Google Drive). Pastikan backup online anda ialah ‘private’ / no external party excess ya.

Sekian, nanti saya tambah lagi…hehe. Semoga membantu. Kalau ada tips tambahan, sila la tambah di ruang komen ya.
Soredewa…Ja Ne~

0 thoughts on “Tips mengira budget travel & membuat itinerary

  1. Salam Kenal dari saya dari Ulsan, KOrea. Nice itinerary yang awak buat tu. Saya cadangkan kalau datang korea lagi cuba la lawat bandar Ulsan dan Gyeongju. Sini banyak tempat cantik-cantik cuma x popular je hehehe

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *