Eva Hana: Bulan di atas Champs-Elysees

Salam penuh kesejahteraan semua.

Buku ini dibeli penghujung Oktober 2011. Seperti mana lazimnya akan tersimpan lama di rak buku seperti mana kebanyakkan buku-buku yang masih belum saya baca. Tamat membaca [Tunas] tulisan Hlovate minggu lepas, saya menyambung baca buku ini pula. Saya tamat membacanya dalam tempoh seminggu, atau lebih tepat 3 hari saja, petanda buku ini memang menarik.

Memang tidak rugi membeli novel yang hanya setebal 305 mukasurat dan berharga RM17 ini (harga di Sarawak). Kisah benar seorang gadis yang bercinta dengan lelaki Perancis yang tidak dapat menerima Islam.

Kisah bermula dengan Eva Hana yang ingin pergi ke Perancis untuk belajar bahasa Perancis di sana. Dia amat sukakan kebudayaan dan cara hidup di Perancis. Buku ini juga menceritakan secara terperinci bandar Paris – kota cinta dan Kota Seni.

Mengenali Jean Paul melalui internet, yang membantu Eva Hana dalam persiapan untuk belajar di Paris. Mereka jatuh cinta walau belum pernah bertemu. Dan apabila Eva Hana tiba di Paris, bermula ujian cinta duniawi menguji keimanan diri.

Eva Hana mungkin pada pandangan biasa, seorang wanita moden yang telah lama bergaul dengan masyarakat bukan Islam dari Barat. Dan dalam kehidupan seharian bersama-sama orang yang tidak memahami tatacara hidup seorang Muslim, dia lebih tahu menjaga diri dari perkara-perkara yang dilarang dalam Islam.

Satu perkara yang sangat menarik ialah kisah penulis, Eva Hana yang “culture shock” apabila kembali berkerja di Kuala Lumpur. Dia menulis pengalaman hari pertama berkerja sebagai jurujual server komputer, dia diperkenalkan dengan ‘budaya memberi hadiah’ kepada pelangan untuk memudahkan lagi urusan jual beli. Dia juga “culture shock” melihat orang-orang Islam di Malaysia dengan bangga meneguk arak hingga mabuk.

Aku ternampak ramai orang di dalam bilik itu – lelaki dan wanita. Ada yang sedang memegang gitar, ada yang memegang mikrofon, ada yang memegang botol-botol arak…

Jurujual itu sendiri sedang memegang sebuah botol berbentuk wain, mengangkat, menunjuk dan melaung pada aku…

“Hoi, Perancis!!! Marilah! Aku ada wain untuk kau. Kau kan sudah biasa minum ni!!! Mari kita nyanyi dan enjoy!!!” Sambil menggoncang-goncangkan botol wain itu pada aku. Inilah pertama kali aku melihat orang memegang botol wain sebegitu…

Aku terkejut. Tiba-tiba berasa jijik dan mual dengan melihat botol arak itu diayun-ayun begitu. Aku lantas berpatah dan kembali ke bilikku. Bunyi bising lagu, sorakan dan jeritan nyanyian bertambah gamat…

Aku masuk ke bilik, menukar kembali ke baju tidurku dan terduduk di atas katiku, menarik nafas panjang… Dan tiba-tiba, aku berasa letih yang amat sangat…

Oh Tuhan… kau sajalah yang memahami. Memang benarlah aku bercinta dengan seorang lelaki Perancis, dan yang aku cinta adalah “seorang lelaki”, yakni “seorang” itu, bukan “Perancis” itu. Cara dia yang lembut menarik dan menawan hatiku. Walaupun aku memang berminat mencari dan tertarik mempelajari perkara-perkara yang baharu serta membawa kelainan dari negaranya, tetapi aku tidak pernah tertarik hendak mencuba wain walau bagaimanapun diagung-agungkan di sana. Kerana pada aku, tidak perlu. Ia adalah cara hidup mereka, bukan cara hidup aku. Seperti mengamati dan melihat sebuah lukisan yang menarik dan cantik – aku suka melihat dan mengamati, mungkin mempelajari tekniknya. Tetapi walau bagaimana sekalipun aku jatuh cinta pada lukisan itu, tak perlulah aku berpura-pura hendak berlagak serta menjadi seperti pelukis itu, kerana dia bukan aku dan apa-apa hasil lukisanku pula tidak akan serupa dengan lukisannya.

Dalam itu, aku tidak perlu ‘berubah’ kerana kasihku pada seseorang dan fikiranku yang waras masih melihat arak dalam keadaaan sebenarnya, iaitu ia adalah arak – sejenis alkohol, haram dan memabukkan fikiran waras. Dosa besar! Aduhai…memanglah mungkin satu paradoks kalau orang melihat aku yang tampil daripada luaran dengan pakaian gaya ala Barat – seluar jean dan baju-T atau apabila pada waktu berkerja, dengan cara eksekutif wanita – berjaket, blaus dan seluar panjang potongan klasik serta bertampil dengan rambut pendek dan mekap ringkas nampak seperti mereka yang “western educated” dan agak liberal. Tapi aku wanita Islam, megah dalam diam dengan kepercayaanku dan agamaku, serta masih berpegang. Aku bukanlah hilang kewarasan kerana cinta… Dan dengan sedaya upaya, aku memegang kewarasan kerana aku bercinta! Kerana cinta bukan alasan untuk menjual rohaniku…

Dan mereka ini? Adakah mereka faham yang orang Perancis lansung tidak pernah mabuk atau memabukkan diri dengan meminum wain atau minuman beralkohol yang lain? Tentu tidak tahu dan mungkin tidak kisah pun…

Adakah mereka faham bahawa wain itu suatu minuman secara tradisi yang diminum kerana hendak menyedapkan rasa makanan, kerana mereka berpendapat ia menaikkan aroma dan rasa di dalam makanan mereka? Tentu tidak tahu…

-mukasurat 181-183

Buku ini catatan pengalaman berharga penulis dalam menepis cubaan membawa beliau menjadi Kristian. Juga catatan usaha Eva Hana membawa Jean Paul kepada Islam, untuk mendapat perkahwinan yang sah di sisi Islam. Juga idea perkahwinan campur Islam-Kristian yang saya tidak sangka diamalkan juga di Perancis (selama ini hanya tahu ia wujud di Indonesia saja).

Sungguhpun dari segi bahasa ada sedikit kekurangan, namun ini sebuah novel yang harus semua baca dan ambil iktibar. Anda boleh membaca bab awal di sini.

Γ€ Dieu

p/s: Tetiba terfikir kalau aku buat kerja gila juga seperti Eva Hana, berhenti kerja dan merantau duduk di Korea atau Japan, negara indah yang amat ku kagum budaya mereka πŸ™‚

4 thoughts on “Eva Hana: Bulan di atas Champs-Elysees

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *