Bila Tuhan Berbicara (Dr Hj Faizal Tehrani)

Membaca dan melihat berita mengenai tsunami dan gempa bumi di Jepun membuatkan teringat dengan novel drama tulisan Dr Hj Faizal Tehrani ~ Bila Tuhan Berbicara (2007). Novel drama (penulisan berbentuk ala skrip drama pementasan) yang mengisahkan 3 pemuda: Sahlan saintis yang ingin menjadi wanita; Razlan ekstremis agama dan Mazlan, doktor perubatan yang masih terasa darah panas isteri yang baru dibunuhnya {ni copy paste diskripsi muka belakang buku..hehe}.

Mereka bertiga terperangkap bersama dalam sebuah kubu lantaran gempa bumi, taufan dan letupan gunung berapi. Apabila terbangun dari tidur, beribu tahun berlalu dan mereka sampai di dunia baru. Novel yang sarat dengan perbincangan mengenai bagaimana malapetaka boleh berlaku, mengapa malapetaka boleh berlaku dan isu-isu lain berkaitan.

Pembaca diperkenal dengan teori bagaimana bila Danau Toba di Indonesia menghadapi letusan besar..letusan yang dijangka berlaku pada kadar 50 tahun sekali. Letusan besar yang dicetuskan oleh pergerakan gunung berapi, berlainan dari letusan biasa yang disebabkan pergerakan tektonik. Kali terakhir letusan biasa berlaku pada tahun 1883 di Krakatoa mengorbankan 36 ribu orang [dinamakan VEI-5, skala sederhana besar].

Di bawah Toba, terdapat gunung berapi yang tidak kelihatan di mata yang dipanggil restless caldera. Dalam tempoh 2.1 juta tahun, ada 3 letusan caldera, yakni sekali dalam 600 ribu tahun.  Kesan dari letusan gunung berapi ialah perlepasan gas, batu, debu dan pumis (batu berapi yang meletus keluar dari dalam bumi apabila gunung berapi muntah, menghidu pumis sahaja boleh menyebabkan kematian).

Bayangkanlah kalau Toba betul-betul meletup. Zon 1, dalam lingkungan 100 kilometer, semuanya akan terhapus oleh pyroclastic flow, iaitu lautan api, haba panas, bom dan wap hangat bercampur api dan gas. Ala yang nampak macam asap, macam cendawan dari jauh… asap inilah boleh bergerak selaju 700 kilometer sejam. –omitted-

Panasnya 500 ke 800 darjah celsius. Penghuni-penghuni di zon 1 takkan ada peluang lansung untuk hidup.

Tak ada peluang

Mereka yang berada di Zon 2 dan 3 pula, kalau letusan caldera betul berlaku di Toba, maka Pulau Pinang  termasuklah dalam Zon 2 dan 3 ni, mereka akan terperangkap oleh hujan debu, pumis, dan jika ia bercampur dengan hujan, semua akan jadi lumpur berbahaya. Tuan-tuan akan keras dan jadi batu semuanya. Kaku dan keras macam mangsa-mangsa di Pompeii dan Herculaneum, apabila gunung berapi Vesuvius meletus dalam tahun 79 Masehi.

mukasurat 23-24

Letusan caldera dinamakan VEI-8, 1ooo kaliganda letupan bom di Hiroshima. Jika zip caldera terdedah, boleh mencetuskan letupan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Bila VEI-8 berakhir, berbillion tan sulfur dioksida akan melingkungi langit, matahari akan dilitupi, cahaya tidak dapat menerombos dan dunia menjadi dingin.

Novel ini amat menarik dibaca, penuh fakta dan simulasi bagaimana malapetaka besar (seperti yang membuat dinasor pupus) boleh berlaku lagi. Dan menariknya bila dikaitkan dengan konsep ketuhanan…Bila Tuhan Berbicara…

Kalau terjadi malapetaka, kita sentiasa ingat ini kemungkaran Tuhan sahaja. Benarkah begitu?

Allah berfirman dalam surah az-Zukhruf ayat 48: Dan Kami timpakan kepada mereka azab supaya kembali ke jalan yang benar. Ayat ini menunjukkan Allah memberi kirafah kepada manusia. Kifarah ialah satu ujian atau tebusan yang Allah berikan kepada manusia kerana terlanjur melakukan dosa dan kesalahan. Oleh kasih sayang Allah, Tuhan tidak mahu dia diseksa di akhirat maka diberi dahulu azab yang ringan di dunia supaya dia beringat dan bertaubat.

Apa yang berlaku boleh jadi juga satu bala seperti yang dialami oleh umat Nabi Nuh, kaum Add dan Tsamud dan lain lain. Seperti firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 74 di mana Allah menyatakan: Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat.

Mungkin juga ini semua satu ibtila’ iaitu ujian ke atas orang baik supaya mereka melakukan kebaikan dan menggandakan kebaikkannya lagi. Ibtila’ ialah ujian ke atas orang yang baik supaya mereka mendapat pahala sabar, syukur, redha, pemaaf dan qanaah dari Tuhan. Ini Allah firmankan dalam surah al-Baqarah ayat 214: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesensaraan, kemelaratan, dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: Bilakah datangnya pertolongan Allah.

Malapetaka berlaku kerana kita terlupakan dua kekuatan yang ada pada kita iaitu fikir dan zikir. Lemah zikir kerana kita kurang menghayati ilmu wahyu sedang kita juga lemah fikir hingga mundur serba-serbi dari orang lain dalam bidang sains dan teknologi. Vulkanologis penakut dan pemalas ini satu buktinya.

Bila Tuhan Berbicara, 2007, mukasurat 52-53

 

Nota: Tak terkata apa yang terbuku di dada apabila mendengar berita mengenai tragedi di Jepun. Semoga mangsa-mangsa yang terselamat terus tabah meneruskan hidup. Sekali lagi Jepun perlu bangkit dari padang jarak padang terkukur…

Tagged

5 thoughts on “Bila Tuhan Berbicara (Dr Hj Faizal Tehrani)

  1. Pernah beli dan baca buku ini masa sekolah menengah dulu. Sedikit sentuhan baru Faisal menggabungkan drama dan novel.

    Satu sudut pandang yang baru dalam novel ini ialah bencana tidak semata-mata petanda malang, bahkan terkandung 1001 hikmah, blessing in disguise πŸ˜€

  2. “Ayat ini menunjukkan Allah memberi kirafah kepada manusia. Kifarah ialah satu ujian atau tebusan yang Allah berikan kepada manusia kerana terlanjur melakukan dosa dan kesalahan.”

    mana yg betul?…kirafah atau kifarah? saya pernah terjumpa perkataan kirafah digunakan oleh penulis lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *